Sebanyak 1.5 juta pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berusia 40 tahun ke atas yang menerima baucar perkhidmatan saringan kesihatan secara percuma belum melakukan pemeriksaan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk K. Selvarajah berkata, mereka perlu segera mengambil peluang menjalani pemeriksaan percuma itu sebelum tawarannya tamat tempoh pada hujung bulan ini.

Kata beliau, daripada 1.9 juta baucar yang dikeluarkan tahun lalu untuk membolehkan pencarum pelbagai sektor menjalani pemeriksaan kesihatan di hampir 3,000 klinik swasta berdaftar di bawah pertubuhan itu, kira-kira 400,000 penerima sahaja melakukannya.

“Daripada 400,000 orang yang telah membuat pemeriksaan, 61 peratus daripadanya tidak pernah menjalani sebarang ujian saringan kesihatan sebelum ini dan dari situ barulah mereka dikesan menghidap pelbagai jenis penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi malah kanser.

“Sebenarnya bukan mereka tidak tahu kerana kita sudah mengiklankan di media massa, mengedarkan kepada majikan dan sebagainya tetapi ada antaranya yang sengaja tidak mahu melakukan disebabkan tiada masa, terlalu sibuk atau takut untuk mengetahui penyakit dihidapi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Persidangan Keselamatan Tahunan Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Datuk Dr. Ir. Johari Basri dan Presiden MBAM, Matthew Tee.

Menurut Selvarajah, pada tahun lalu, Perkeso membayar pampasan RM2.2 bilion bagi kes melibatkan kecederaan di tempat kerja dan pencen, namun jumlah itu tidak merangkumi kes kematian akibat penyakit disebabkan gaya hidup seperti kanser dan darah tinggi.

“Kami menyediakan baucar pemeriksaan ini secara percuma agar mereka dapat membantu golongan pekerja mengesan penyakit dan dalam masa sama mampu memberi impak positif kepada majikan kerana mempunyai pekerja yang sihat.

“Kos pemeriksaan bagi pekerja lelaki dianggarkan bernilai RM100 manakala untuk pekerja wanita kosnya RM200 kerana melibatkan ujian saringan mamogram serta pap smear. Manfaat ini adalah untuk pencarum kerana ini adalah wang mereka,” katanya.

sumber