Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) berpendapat kerajaan tidak akan menangguhkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP)yang dijadual 1 April ini di sebalik perubahan dalam ekonomi dan bencana yang menimpa negara.

Timbalan Presidennya Datuk Ter Leong Yap juga berpandangan penangguhan CBP bukan jawapan kepada situasi yang dihadapi kerana ia tetap akan dilaksana selain membawa manfaat jangka panjang kepada negara.

“Kita mesti bersedia menghadapinya kerana banyak yang sudah dilakukan oleh kerajaan untuk melaksanakan ini (CBP),” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau berharap kerajaan memberi kelonggaran kepada pemilik perniagaan memandangkan pasti berlaku banyak kesilapan dan cabaran pada tahun pertama pelaksanaannya.

Ter diminta mengulas mengenai kajian oleh Grant Thornton International Business Report hari ini yang antara lain menyarankan kerajaan menangguhkan pelaksanaan CBP kepada 1 Julai.

Terdahulu dalam sidang media bersempena bantuan bagi mangsa banjir ACCCIM, Ter berkata setakat ini dewan itu mengumpul RM2 juta dalam bentuk tunai dan barangan yang sebahagian sudah diagih kepada pelbagai organisasi bantuan bencana negeri.

Fasa pertama bantuan mangsa banjir ACCCIM dilancar pada 30 Dis 2014 iaitu dengan agihan air mineral dan makanan.

Persatuan turut menghantar barangan keperluan seperti periuk nasi, pakaian dan buku sekolah, lampin dan pakaian bayi, tilam, tuala, generator elektrik, ubat-ubatan dan sebagainya.

ACCCIM juga menggerakkan satu pasukan 126 sukarelawan bagi membantu mangsa banjir membersihkan kediaman dan sekolah.

Ter berkata ACCCIM dan anggotanya akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas banjir mendapatkan bantuan kewangan dalam bentuk geran dan lain-lain daripada SME Corporation bagi meneruskan semula perniagaan mereka.

sumber