Pembetulan harga pasaran rumah dijangka berlaku pada suku ketiga atau suku keempat tahun depan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) mulai April depan.

Presiden Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata perkara itu berlaku apabila harga kos bahan-bahan binaan kembali normal atau lebih murah selepas beberapa bulan CBP diperkenalkan.

“Saya yakin pengurangan harga bahan binaan akan berlaku selepas tiga ke empat bulan CBP dilaksanakan, seterusnya membawa kepada perubahan harga pasaran rumah ke tahap yang lebih stabil atau lebih murah,” katanya dalam rancangan Ruang Bicara BernamaTV, semalam.

Beliau berkata, pengenalan CBP tidak sepatutnya dijadikan asas kepada kenaikan harga rumah kerana masyarakat sendiri sehingga kini tidak tahu jenis barang yang akan dikenakan CBP.

Katanya, pemaju perumahan pasti akan menggunakan alasan CBP untuk menaikkan harga rumah secara mendadak sebagai reaksi mereka yang cuba mengambil kesempatan terhadap kenaikan harga barang.

“Maka berbalik kepada kerajaan yang perlu mengambil langkah pengawalan yang telus dan tepat untuk mengelak berlaku kenaikan harga rumah sehingga mencecah 20 peratus,” katanya.

Menurut Kamarul Rashdan, kenaikan harga rumah disebabkan kos pembinaan meningkat tidak wajar berlaku kerana tidak ada pertambahan kos yang ketara berlaku sejak tahun 2008 di mana krisis minyak berlaku pada tahun itu.

Katanya, apa yang jelas meningkat secara mendadak dari tahun 2008 hingga sekarang ialah nilai hartanah dan peningkatan ini secara langsung menjadi penyebab kepada peningkatan harga rumah.

“Apabila tanah dijual dengan harga tinggi, maka kos pembelian tanah terpaksa dipindahkan kepada pembeli dan akhirnya pembeli yang terpaksa menanggung harga melambung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata Bajet 2015 berkaitan perumahan yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu adalah berita baik untuk golongan belia yang ingin memiliki rumah.

Beliau berkata harga memang menjadi kekangan utama kepada golongan belia unutk memiliki rumah terutama dengan peningkatan nilai hartanah yang tinggi hari ini.

“Ada peluang untuk kita menyelesaikan masalah ini dengan membina rumah mampu milik untuk golongan belia dengan harga yang rendah,” katanya.

Najib minggu lalu dalam pembentangan Bajet 2015 mengumumkan penubuhan Skim Perumahan Belia secara perkongsian pintar antara kerajaan, Bank Simpanan Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Cagamas.

sumber