KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengenakan kompaun RM15,000 kepada 100 syarikat yang gagal mendaftar untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sehingga tarikh akhir pendaftaran pada 28 Feb lalu.

Pengarah CBP JKDM Datuk Subromaniam Tholasy berkata kompaun tersebut dikenakan susulan operasi yang dilaksanakan oleh JKDM di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu semalam.

Operasi digerakkan sepenuhnya hari ini bagi mengesan syarikat-syarikat degil menerusi notis yang dihantar kepada mereka tiga minggu lalu.

“Kami ada perincian dan alamat mereka dan akan memaksa mereka mendaftar untuk CBP. Kami tidak akan bawa mereka ke mahkamah melainkan mereka gagal membayar kompaun tersebut dalam tempoh 14 hari,” katanya kepada Bernama.

Dalam usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara, kerajaan akan menguatkuasakan CBP bermula 1 April ini dan semua syarikat yang berpendapatan tahunan RM500,000 ke atas diwajibkan mendaftar untuk CBP.

Mengulas lanjut, Subromaniam berkata tempoh pendaftaran yang diberi sehingga 28 Feb lalu adalah mencukupi bagi syarikat berbuat demikian.

“Mereka yang tidak mendaftar CBP ini mempunyai kelebihan dari segi daya saing. Ini tidak adil kepada syarikat yang mematuhi undang-undang selain turut menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Mengenai persediaan melaksanakan CBP, beliau berkata jabatan itu sedang bekerja keras bagi memastikan peralihan kepada rejim percukaian baharu tersebut berjalan lancar.

“Sistem sudah siap, namun kebimbangan utama saya ialah persediaan perniagaan kerana kegagalan memahami garis panduan CBP akan menyebabkan mereka menghadapi masalah terutama pada peringkat awal pelaksanaan,” katanya.

Sehubungan itu, Subromaniam menasihati pemilik perniagaan agar membaca dan memahami garis panduan berkaitan yang disediakan menerusi portal CBP JKDM atau menghubungi pejabat kastam jika mereka memerlukan penjelasan lanjut.

Beliau berkata pemilik perniagaan yang berdaftar juga boleh mengambil peluang daripada sesi bimbingan selama dua hari yang sedang berlangsung, bagi membantu mereka bersedia untuk pelaksanaan CBP.

Setakat 28 Feb lalu, 345,376 syarikat berdaftar untuk CBP. Sebelum ini tarikh akhir pendaftaran ialah pada 31 Dis tahun lalu namun dilanjutkan sehingga 28 Feb.

source