Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan disaran mewujudkan sebuah pasukan petugas khas untuk memantau pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) di kalangan para peniaga.

Anggota Parlimen Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata pasukan itu sangat penting untuk memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan apabila CBP dilaksanakan pada 1 April tahun depan.

Beliau berkata pasukan petugas khas ini perlu diwujudkan di semua daerah dan negeri.

“Mana-mana peniaga yang didapati melakukan perbuatan ini (menaikkan harga barang) harus dikenakan tindakan setegas-tegasnya kerana mereka inilah ‘musuh dalam selimut’ dalam usaha kerajaan mengurangkan beban hidup rakyat,” katanya.

Ikmal Hisham berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Tambah beliau, langkah kerajaan menambah jumlah barangan yang dikecualikan daripada CBP juga mendapat respons yang amat baik daripada rakyat.

Katanya, pengumuman kerajaan itu sekaligus menghapuskan kegelisahan rakyat berikutan tohmahan pembangkang bahawa pelaksanaan CBP akan menekan kehidupan mereka dan kononnya akan berlaku kenaikan harga barangan.

Dalam ucapan pembentangan Bajet 2015 Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan bersetuju meluaskan skop barang yang tidak dikenakan CBP.

Pelaksanaan CBP pada kadar enam peratus itu akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sekarang yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

sumber