Pulau bebas cukai seperti Langkawi, Tioman dan Labuan kekal dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang berkuat kuasa 1 April tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pelaksanaan CBP tidak akan menjejaskan kawasan khas dan bebas cukai kerana cukai itu akan memberi manfaat kepada rakyat berikutan pengurangan harga barang keperluan di negara ini.

“Ketika ini kebanyakan barangan dikenakan cukai di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan peralihan kepada CBP akan memastikan harga barangan tidak meningkat sekali gus langkah ini dapat meringankan beban rakyat,” katanya pada majlis Penerangan Perdana CBP di sini pada Ahad.

Beliau berkata kerajaan memperkukuh Unit Penguatkuasaan CBP dengan penambahan 2,270 anggota, 1,300 anggota Unit Pemantauan Harga serta 202,800 sukarelawan Skuad Pengguna selain membabitkan 579 penghulu dan penggawa.

“Kerajaan mengambil pendekatan dengan mewujud dan memberi peruntukan kepada kumpulan pemantau harga dari kalangan persatuan pengguna bagi mengelak berlaku kenaikan,” katanya.

Ahmad berkata pelaksanaan CBP berupaya mempertingkat pendapatan kerajaan dan hasil kutipan cukai itu akan dapat disalur semula kepada rakyat melalui pembangunan.

“Malaysia juga perlu berubah daripada sistem percukaian era 70an kepada era digital seiring dengan kehendak dan peredaran dunia,” katanya.

sumber