Agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam penyaluran maklumat mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) diminta memperhebat program penerangan masing-masing kepada golongan sasar sebelum ia dilaksanakan pada April depan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat perlu memahami secara mendalam mengenai CBP sebelum memberi penjelasan kepada orang ramai mengenainya.

Beliau berkata agensi-agensi kementerian seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) giat turun padang memberi penjelasan kepada rakyat mengenai CBP dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Bagi pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia, usaha penyebaran dan penyaluran maklumat berkaitan CBP di pelbagai medium sedang giat diteruskan.

“Semoga dalam tempoh beberapa bulan akan datang, pemahaman pengguna mengenai CBP dapat dipertingkat dan memberi manfaat,” katanya Sabtu.

Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan program Kuasa Pengguna 1Pengguna 1Suara bagi menangani peningkatan kos sara hidup dekat sini.

Program Kuasa Pengguna 1Pengguna 1Suara anjuran Persatuan Pengguna Terengganu merupakan program jelajah daerah yanng ke-11 dan terakhir bagi tahun ini.

Mengenai program itu, beliau berkata orang ramai perlu diberi pendidikan dan kesedaran untuk menjadi pengguna bijak dan dapat memastikan penipuan, penyelewengan dan penindasan oleh peniaga tidak berlaku sewenang-wenangnya.

sumber