Kerajaan kini mengkaji mekanisme baharu untuk memaksimumkan kesan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Ia termasuk pengagihan, seperti pemberian bulanan bukannya bayaran sekaligus kepada penerima, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

“Ini akan mengelakkan orang ramai daripada membelanjakan wang berkenaan ke atas barang bukan keperluan,” katanya.

Irwan berkata demikian pada sesi dialog pasca Bajet 2015 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia dan Universiti Malaya di sini hari ini.

Beberapa ahli ekonomi yang berucap pada perbincangan panel itu berkata ia lari daripada tujuan sebenar jika penerima BR1M membelanjanya ke atas barangan mewah.

Kerajaan mengumumkan dalam Bajet 2015 pada Jumaat lepas bahawa BR1M akan dinaikkan kepada RM950 daripada RM650 sebelum ini untuk isi rumah dengan jumlah pendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Agihan tunai ini akan dibayar RM300 pada bulan Januari dan Mei 2015, dengan RM350 baki pada September.

Ini menandakan perubahan pertama untuk skim ini yang memasuki tahun ketiga dengan pembayaran dibuat dalam tiga fasa, dan bukannya bayaran sekaligus seperti sebelum ini.

“Kita menjadikan pengagihan berkenaan tiga kali untuk membolehkan orang ramai bijak mengawal perbelanjaan mereka,” kata Irwan.

Pengerusi Taxand (M) Sdn Bhd Dr Veerinderjeet Singh berkata kerajaan perlu melihat cara-cara untuk meningkatkan produktiviti rakyat, dan bukannya menawarkan pemberian tunai kepada mereka.

sumber