Kerajaan akan mengkaji cadangan mewujudkan kod bar tambahan ‘Z’ (kadar sifar) ke atas barangan daripada industri farmaseutikal untuk memudahkan proses pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP).

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata ini memandangkan industri berkenaan mempunyai lebih 3,000 barangan yang berkadar sifar apabila CBP dilaksanakan pada 1 April ini.

“Pengenalan kod bar tambahan ‘Z’ yang bermaksud ‘kadar sifar’ itu dapat membantu mengenal pasti sama ada barangan tersebut mempunyai kadar sifar atau kadar standard,” katanya kepada pemberita selepas majlis perbincangan meja bulat mengenai CBP Malaysia antara Kementerian Kewangan dan Kastam Diraja Malaysia, di sini, hari ini.

Cadangan tersebut dikemukakan semasa perbincangan meja bulat itu.

Sementara itu, mengulas mengenai pemberian e-baucar berjumlah RM1,000 kepada Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi pembelian perisian CBP, Chua mengakui terdapat syarikat yang tidak menerimanya kerana peruntukan yang disediakan oleh kerajaan pada tahun lepas telah digunakan sepenuhnya.

“Tahun ini kita masih lagi dalam perbincangan untuk mengeluarkan lagi e-baucar, namun ia akan dihadkan kerana pemberian adalah berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’ yang bertujuan menggalakkan syarikat mendaftar secepat mungkin,” katanya.

Chua juga berharap syarikat yang mempunyai nilai jualan melebihi RM500,000 dan belum mendaftar agar segera berbuat demikian sebelum 28 Feb, atau mereka bakal berdepan denda sebanyak RM15,000.

Sehingga 5 Feb, sejumlah 311,658 syarikat telah mendaftar untuk CBP.

sumber