Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menaikkan harga selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) pada 1 April, 2015, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata mereka yang menjual barang dan menyediakan perkhidmatan tidak sepatutnya menggunakan CBP sebagai alasan untuk menaikkan harga kerana harga barangan tertentu tidak akan naik berikutan pengecualian cukai.

“Kami meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan agar lebih tegas dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengaut keuntungan dengan membawa mereka ke mahkamah dan mendakwa mereka.

“Tindakan tegas ini akan menghalang mereka yang mahu mengambil kesempatan daripada CBP,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran laman web portal baharu kementerian itu dan portal 1Pekeliling Perbendaharaan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, di sini, Khamis.

Turut hadir ialah timbalan menteri Datuk Ahmad Maslan dan yang baru dilantik Datuk Chua Tee Yong.

Mohd Irwan Serigar berkata lebih dua juta produk akan dipantau di seluruh negara apabila CBP dilaksanakan.

Kementerian beliau telah meluluskan permohonan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk mendapatkan 472 kakitangan baharu bagi aktiviti penguatkuasaan di 222 kawasan parlimen, katanya.

Lebih daripada 10,000 produk akan dipantau di setiap kawasan parlimen apabila CBP dilaksanakan, katanya, sambil menambah Jawatankuasa Pemantauan CBP juga telah ditubuhkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan sistem cukai baharu itu.

Mengenai portal baharu kementerian itu, beliau berkata ia merupakan laman web yang dinamik, kontemporari, kaya dengan maklumat dan dilengkapi ciri-ciri keselamatan terbaharu.

Manakala portal 1Pekeliling Perbendaharaan baharunya, pusat sehenti bagi pengurusan kewangan sektor awam telah dikemas kini agar lebih mesra pengguna, katanya sambil menambah bilangan pekeliling Perbendaharaan juga telah dikurangkan sebanyak 84 peratus kepada 298 daripada 1,892 sebelumnya.

sumber