Kerajaan menjangka kadar inflasi akan turun antara 2.5 hingga 3.5 peratus pada tahun ini berbanding unjuran asal iaitu pada 4 hingga 5 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata unjuran tersebut telah mengambil kira pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

Beliau berkata kadar inflasi negara akan turun disebabkan pengurangan harga minyak yang mendadak iaitu lebih daripada 50 peratus, kerana terdapat lebihan bekalan dan permintaan global yang berkurangan.

“Ini bererti bahawa pengguna-pengguna di Malaysia akan mendapat tambahan pendapatan boleh guna yang lebih, dan ini akan membantu mereka dari segi kemampuan untuk membeli dengan nilai yang lebih besar,” kata beliau dalam program Soal Jawab terbitan TV3, yang disiarkan malam ini.

Program itu dihoskan oleh Pengarah Urusan Institut Penyelidikan Khazanah Datuk Charon Mokhzani, yang juga Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Berhad.

Semalam, pada majlis perutusan khas tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara, Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata tambahan pendapatan boleh guna bagi rakyat Malaysia secara kasarnya adalah di sekitar RM7.5 bilion, berikutan pengurangan harga runcit petrol dan diesel pada 35 dan 30 sen seliter baru-baru ini.

“Dengan andaian pengguna membelanjakan 40 peratus daripada jumlah tersebut, ini akan meningkatkan penggunaan swasta sebanyak RM3 bilion,” katanya.

Pada awal tahun ini, kerajaan telah mengumumkan harga runcit baharu bagi petrol RON95 sebanyak RM1.91 seliter, daripada RM2.26 seliter sebelum ini, RON97 RM2.11 seliter (RM2.46 seliter sebelum ini) dan diesel RM1.93 seliter (RM2.23 seliter sebelum ini).

Perdana Menteri berkata pelaksanaan CBP pada April tahun ini merupakan masa yang terbaik, dalam keadaan inflasi yang agak rendah.

Beliau berkata dengan kadar enam peratus, CBP dapat memberikan hasil tambahan kepada negara berikutan penurunan harga minyak, yang merupakan satu daripada sumber kewangan negara.

“CBP akan memberikan kita pendapatan yang lebih berasaskan kepada asas yang luas, cukai pendapatan dan bersifat progresif. Jadi ini membuktikan bahawa keputusan yang dibuat kerajaan adalah sesuai,” kata beliau.

Semasa ditanya mengenai tindakan peniaga yang gagal menurunkan harga barangan apabila harga minyak berkurangan (setelah menaikkan harga disebabkan kenaikan harga minyak), Najib berkata perlunya satu sistem penguatkuasaan yang lebih berkesan di samping pengguna yang berhemah.

Beliau berkata para pengguna harus bjiak membuat penilaian dan tidak membeli daripada kedai-kedai yang tidak mengurangkan harga ataupun mengenakan harga yang terlalu tinggi.

“Mereka seharusnya memilih tempat di mana mereka akan mendapat harga yang adil,” tambahnya.

sumber