Kerajaan membelanjakan RM2.2 bilion daripada peruntukan RM2.7 bilion tahun ini sehingga September 2013 untuk membantu pelajar sekolah rendah dan menengah khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.

Peruntukan itu merangkumi geran per kapita, program bantuan makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan yuran persekolahan, menurut laporan Ekonomi 2013/2014 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini.
Menurut laporan itu, kerajaan membelanjakan RM523 juta bagi membantu semua pelajar sekolah rendah dan menengah melalui program bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100.

Sehingga Julai 2013, sebanyak 5.2 juta pelajar di seluruh negara mendapat manfaat melalui program yang diperkenalkan pada Januari 2013.

Laporan itu juga menyebut kerajaan meneruskan program Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi dan prauniversiti sebanyak RM250 seorang.

Sehingga Julai 2013, kerajaan membelanjakan RM309 juta untuk program itu, yang memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pelajar di seluruh negara.

Selain aspek pendidikan, kerajaan juga tidak mengabaikan aspek kesihatan rakyat di negara ini terutama dalam menyediakan kemudahan klinik untuk mendapatkan rawatan.
Laporan itu menyebut kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi membaik pulih 520 klinik di seluruh negara dan sehingga Ogos 2013, sebanyak 84 klinik telah siap dibaik pulih.

Kerajaan juga memperuntukkan RM13 juta bagi membuka 70 klinik 1Malaysia, dengan 52 buah daripadanya beroperasi sehingga Ogos 2013.

Selain itu, bagi individu yang menghidap penyakit terminal, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pengeluaran penuh simpanan di bawah Pengeluaran Hilang Upaya tertakluk kepada pengesahan panel yang dilantik KWSP.

Sehingga Ogos 2013, sebanyak 2,366 ahli membuat pengeluaran di bawah Pengeluaran Hilang Upaya dengan tuntutan berjumlah RM129 juta.

Sementara itu, dalam bidang belia dan sukan, laporan itu menyebut kerajaan memperuntukkan RM15 juta untuk Program Sukan Berprestasi Tinggi bagi persediaan atlet ke sukan antarabangsa, terutamanya Sukan SEA 2013, Sukan Paralimpik ASEAN 2013, Sukan Komanwel 2014 dan Sukan Asia pada 2014.

Untuk golongan belia, kerajaan telah membelanjakan RM260 juta daripada peruntukan RM300 juta bagi menawarkan rebat bayaran sekali sahaja sebanyak RM200 di bawah pakej Komunikasi Belia untuk pembelian telefon pintar 3G.

Sehingga Ogos 2013, 1.3 juta belia telah mendapat manfaat daripada program berkenaan.

sumber