Pengguna hendaklah menyemak resit jualan apabila selesai melakukan transaksi perniagaan bagi menentukan sama ada mereka dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) atau tidak, apabila cukai itu dikuatkuasakan mulai April tahun depan.

Pengarah CBP Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Subromaniam Tholasy berkata nombor CBP akan tertera pada resit jualan bagi syarikat atau perniagaan yang telah berdaftar untuk mendapatkan lesen CBP.

“Pengguna boleh membuat semakan dengan memasukkan nombor CBP melalui portal GST atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (Call Centre) untuk mendapat kepastian sama ada syarikat tersebut memilik lesen CBP atau tidak.

“Dalam hal ini, peranan pengguna amat penting untuk memastikan para peniaga tidak akan mengambil kesempatan ke atas pelanggan,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

CBP akan dikuatkuasakan pada kadar enam peratus mulai bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan berkadar keseluruhan 16 peratus, sekarang ini.

CBP tidak dikenakan ke atas barangan makanan asas seperti beras, gula, garam, tepung dan minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, cencalok, budu dan belacan.

Perkhidmatan kerajaan seperti pengeluaran pasport, lesen, rawatan kesihatan, pembelajaran di sekolah; perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan bas, keretapi, tol lebuh raya serta perkhidmatan pendidikan turut tidak dikenakan cukai.

Beliau berkata sejak Jun lebih 4,000 syarikat telah berdaftar dengan JKDM untuk mendapatkan lesen CBP.

Subromaniam berkata syarikat atau perniagaan yang tidak mempunyai lesen CBP tidak boleh mengenakan CBP kepada pengguna dan menjadi satu kesalahan jika mereka mengenakan cukai tersebut.

“Jika tidak berdaftar kita mempunyai peruntukan undang-undang untuk mendakwa mereka ke mahkamah. Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda RM30,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

“Mereka juga boleh dikenakan kompaun sehingga RM15,000 jika tidak dibawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata kelewatan pendaftaran akan dikenakan denda sebanyak RM1,500 bagi setiap 30 hari sehingga maksimum RM20,000.

“Semua syarikat dan perniagaan perlu berdaftar dengan JKDM untuk pelaksanaan CBP sebelum 31 Disember depan,” katanya.

sumber