Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bakal memperbetulkan situasi ‘yang kaya semakin kaya dan miskin semakin miskin’ di negara ini.

Beliau berkata sistem cukai jualan dan perkhidmatan pada masa ini mempunyai ruang untuk dimanipulasi sesetengah pihak sehingga merugikan negara dan rakyat.

“Melalui GST ini, tidak ada ruang bagi kumpulan yang lazimnya mengelak membayar cukai dan seterusnya mengangkat orang miskin yang perlu dibela,” katanya pada persidangan kedua Dewan Undangan Negeri Melaka ke-13 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tey Kok Kiew (DAP-Banda Hilir) mengenai jurang antara rakyat miskin dan kaya yang perlu dipertimbangkan kerajaan terlebih dahulu sebelum perlaksanaan GST.

Idris berkata jurang perbezaan antara rakyat miskin dan kaya di negara ini semakin rapat sekaligus membolehkan GST dilaksanakan pada 1 April 2015.

“Melaka merupakan contoh antara negeri yang rakyatnya mempunyai jurang pendapatan yang hampir setara,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan Datuk Norpipah Abdol (BN-Rembia) berhubung usaha penerangan berkenaan GST di Melaka, Idris berkata untuk tahun ini sebanyak 55 program penerangan telah dijalankan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan sejak Jan hingga hari ini.

Katanya usaha penerangan mengenai GST telah dilaksanakan sejak 2012 dengan 19 program penerangan dijalankan dan 20 program pada 2013.

Bagaimanapun, katanya usaha memberikan maklumat dan pencerahan GST mendapat sedikit cabaran apabila sesetengah masyarakat berfikiran negatif dan tidak mahu menerima niat baik kerajaan dalam memperkenalkan sistem cukai itu.

“Saya sendiri membuat penerangan tetapi soalan yang diterima ada yang menyakitkan hati dan kadang-kadang jenaka…ada yang menganggap GST seperti seekor harimau lapar yang akan membaham orang kampung, ini suatu pemikiran yang negatif,” katanya.

sumber