KUALA LUMPUR – Yuran perkhidmatan penyelenggaraan bagi kediaman berstrata akan dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata pengecualian cukai tersebut meliputi setiap jenis kediaman berstrata termasuk perumahan kos rendah seperti projek perumahan rakyat dan kediaman berstrata mewah seperti pangsapuri dan kondominium.

Katanya yuran itu sebelum ini dikenakan CBP tetapi selepas pertimbangan dibuat, kerajaan memutuskan untuk mengecualikannya daripada sistem percukaian tersebut.

“Perubahan polisi itu berlaku setelah mengambil kira bahawa perniagaan (penyelenggaraan) itu bukan bertujuan untuk membuat keuntungan berlebihan,” katanya kepada pemberita selepas program Penerangan GST, Bajet dan Isu Semasa di sini.

Program peringkat Wilayah Persekutuan itu merupakan yang kelima diadakan di kawasan Lembah Pantai.

Mengulas mengenai larangan menaikkan margin keuntungan dalam tempoh tiga bulan sebelum dan 15 bulan selepas pelaksanaan CBP, Ahmad berkata peniaga harus mengurangkan penggunaan barangan import dalam produk mereka.

“Peniaga harus mengutamakan barangan keluaran tempatan dan daripada pihak kerajaan sendiri, kita sedang berusaha untuk mengurangkan import barangan seperti beras, daging dan ikan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan mengenai penggantian barangan import bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada barangan tersebut dan kita sentiasa berusaha ke arah itu,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata kerajaan harus bertimbang rasa kepada peniaga sepanjang tempoh peralihan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada CBP.

“Tempoh peralihan mungkin mengambil masa antara setahun dan dua tahun, dan peniaga memerlukan masa untuk menyesuaikan daripada sistem pengiraan sedia ada kepada sistem CBP,” katanya.

sumber