Pengecualian 532 barangan daripada dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang akan dilaksanakan pada April tahun depan, membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata rakyat tidak perlu risau mengenai pelaksanaan CBP kerana ia tidak akan memberi impak kepada barang keperluan harian pengguna termasuk minyak petrol RON 95, diesel dan gas LPG.

“Pengguna tak perlu risau lagi mengenai CBP. Tidak perlu kita mendengar atau termakan dakyah pihak pembangkang yang sengaja menakut-nakutkan kita dengan kenaikan harga barangan selepas pelaksanaan CBP,” katanya kepada pemberita pada Program Pencegahan Wabak Denggi di Kampung Gelam di sini Sabtu.

Dalam pembentangan Bajet 2015 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 532 daripada 944 barang dan perkhidmatan di bawah indeks harga pengguna dijangka mengalami penurunan harga sehingga 4.1 peratus termasuk ubat-ubatan, perabot rumah, barangan elektrik, tekstil dan beras.

Ia termasuk beberapa baranga keperluan asas lain dikecualikan daripada CBP termasuk buah-buahan tempatan dan import, roti, serbuk kopi, mee dan 2,900 ubat-ubatan penting nasional.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata kementerian tidak menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga barangan di seluruh negara selepas pengurangan subsidi petrol dan diesel sebanyak 20 sen sejak 2 Okt lepas.

Beliau berkata setakat ini, hasil tinjauan penguatkuasa kementerian itu sejak seminggu lepas mendapati rata-rata peniaga masih mengekalkan harga.

“Kita buat tinjauan di lebih 200 premis di Kedah dalam tempoh seminggu lepas mendapati tiada peniaga yang mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan berlipat ganda disebabkan pengurangan subsidi minyak.

“Kita terus buat pemantauan kenaikan harga yang tidak munasabah di seluruh negara bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dan juga tidak membebankan rakyat,”katanya.

sumber