Bukan sahaja bingung dengan cadangan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) tetapi ramai rakyat Malaysia masih tidak pasti bagaimana cukai itu akan memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Gara-gara tidak memahami dengan jelas kepentingan CBP, ramai yang bukan sahaja menyimpan perasaan bimbang malah menentang sistem percukaian baru yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa pembentangan Belanjawan 2014.

CBP, yang akan berkuatkuasa 1 April 2015 dengan kadar tetap enam peratus, akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (CJP) yang jumlahnya boleh mencecah sehingga 16 peratus.

Secara umumnya, CBP memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dengan menghapuskan kelemahan yang wujud di bawah CJP sedia ada seperti cukai berperingkat, tiada pengecualian cukai sepenuhnya untuk barangan yang dieksport, pindahan harga dan kerenah birokasi.

Daripada perspektif kerajaan, CBP akan mewujudkan sistem percukaian lebih berkesan yang seterusnya akan memberi manfaat kepada rakyat di samping membantu menangani defisit kewangan negara.

Pengarah CBP Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Subromaniam Tholasy menjelaskan bahawa Malaysia mengamalkan dasar ekonomi terbuka dan banyak bergantung kepada eksport.

Malaysia, yang merupakan sebuah daripada tiga negara di Asia Tenggara yang belum melaksanakan CBP, sedar sistem percukaian baharu itu adalah satu-satunya langkah untuk menangani kelemahan dalam sistem percukaian semasa.

CBP juga dilaporkan akan memberi kelebihan kepada eksport negara.

Menurut Subromaniam, memandangkan CBP tidak dikenakan ke atas eksport, harga eksport Malaysia akan menjadi lebih berdaya saing sementara kos CBP yang dikenakan ke atas input boleh ditebus semula sepanjang rantaian bekalan.

“Ini akan menguatkan industri eksport kita dan dapat memacu negara menjadi lebih maju,” kata beliau dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

Tambahan hasil eksport akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan hasil eksport dijangka meningkat sebanyak 0.5 peratus pada tahun pertama pelaksanaan CBP.

Subromaniam menjelaskan cukai di bawah sistem semasa hanya dikenakan ke atas import atau pada peringkat kilang.

Sekiranya ada sesiapa yang dapat mengelak daripada membayar cukai pada mana-mana peringkat ini, tindakan itu boleh diumpamakan sebagai penyeludupan.

Beliau berkata dengan CBP, proses di setiap peringkat memerlukan invois dan dengan demikian, mana-mana pihak yang mahu mengelak daripada membayar cukai dapat dikesan.

Di samping itu, selama ini, pengguna membayar cukai di peringkat pengilang dikenali sebagai cukai jualan iaitu kira-kira lima hingga 10 peratus dan enam peratus lagi untuk cukai perkhidmatan.

Di bawah CJP, cukai yang dikenakan ke atas barangan yang dikilang tidak dinyatakan pada resit jualan dan ini menyebabkan tiada sesiapa sedar akan bayaran tersembunyi.

Itulah sebabnya mengapa rakyat tidak merasa cukai yang mereka bayar di bawah CJP.

Bagaimanapun, apabila CBP dikuatkuasakan, pengguna akan membayar harga yang lebih berpatutan untuk kebanyakan barangan dan perkhidmatan berbanding di bawah CJP.

“Pada masa sama, harga akan lebih telus pada masa depan. Peniaga yang tidak jujur akan mendapati sukar untuk mengambil kesempatan ke atas pengguna,” kata Subromaniam.

Menurut Subromaniam, di bawah SST, tidak ada siapa tahu pihak yang terlibat dan berapa banyak keuntungan dibuat daripada jualan kerana kos dan cukai tidak diasingkan, sebaliknya dikumpulkan sekali.

“Sebagai contoh, orang boleh mendakwa bila harga petrol naik, harga rumah pun naik. Alasannya, kos pengangkutan yang lebih tinggi tetapi kita tidak tahu berapa banyak kos mereka serta keuntungan yang mereka buat.

“Ini kerana tidak ada siapa yang diaudit. Jabatan Kastam tidak mengaudit mereka tetapi di bawah CBP, kami akan dapat tahu jumlah yang sebenar kerana kami dapat mengesan setiap urus niaga,” jelasnya.

Beliau berkata CBP akan menjadi sistem percukaian yang berkesan untuk membolehkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun akan datang.

sumber