Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan membantu Malaysia mencapai belanjawan lebihan pada 2020, tahun Malaysia mencapai status negara maju.

Pengarah Eksekutif Tax Advisory And Management Services Sdn Bhd (TAMS) Yong Poh Chye berkata kerajaan boleh mengumpul RM23.1 bilion dalam pendapatan cukai tahun depan dan ini hanya daripada tiga suku tahunan kerana GST akan dilaksanakan pada 1 April, 2015.

“Tahun berikutnya, pada 2016, sebanyak RM32 bilion daripada pendapatan GST dijangka dikumpul,” katanya.

Yong merupakan penceramah pada sesi “Pengenalan dan Asas GST – Menyediakan Syarikat untuk Pelaksanaan GST” pada Persidangan GST Kebangsaan di sini Khamis.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, Mikhail Raj Abdullah menjadi moderator pada sesi tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan bahawa kerajaan akan memperluaskan asas cukai dan mempelbagaikan aliran pendapatan dengan pelaksanaan GST, menggantikan 10 peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam Bajet 2014.

“Jika SST (boleh mengumpul) RM17 bilion, dengan GST ia boleh berganda dalam masa satu atau dua tahun,” tambah Yong.

Defisit fiskal Malaysia adalah pada kadar 4.5 peratus pada 2012 dan Perdana Menteri berazam menjadikan negara neutral belanjawan pada 2020.

Persidangan dua hari itu yang berakhir Jumaat, dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan TAMS.

sumber