Sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang akan dilaksanakan pada 1 April ini tidak akan membebankan rakyat, kata Pengarah Bahagian CBP, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Subromaniam Tholasy.

Beliau berkata ini kerana model CBP di Malaysia dibuat berdasarkan kajian terhadap sistem CBP di lebih 160 negara yang sudah melaksanakannya.

“Kalau kita tengok model (CBP) kita, semua makanan asas tidak dikenakan CBP … perkhidmatan kritikal dan penting untuk rakyat sama ada pengangkutan awam, pendidikan swasta, kesihatan swasta dan perkhidmatan kewangan tertentu, penggunaan air, penggunaan elektrik sehingga 300 unit, semua dikecualikan daripada CBP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi taklimat CBP daripada perspektif perniagaan kepada pengamal media anjuran Jabatan Penerangan Sabah dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini hari ini.

Turut memberi taklimat ialah Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan Datuk S. Kumaran dan Low Swee Hon daripada Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK.

Subromanim berkata kajian yang dibuat mendapati negara-negara lain mengenakan kadar CBP antara tujuh hingga 27 peratus berbanding Malaysia pada kadar enam peratus dan terendah cuma Taiwan iaitu lima peratus manakala di Singapura tujuh peratus.

Beliau juga menjelaskan CBP akan menggantikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar keseluruhan 16 peratus yang dilaksanakan di negara ini sejak 1972.

Katanya pelaksanaan CBP di negara ini diyakini akan meningkatkan daya saing eksport Malaysia, sekali gus memberi lebih pendapatan kepada Malaysia.

“Sistem CBP itu sendiri adalah sangat cekap. Ini boleh memberi pendapatan lebih mantap kepada negara. Biasanya percukaian berasaskan penggunaan adalah lebih stabil dan tidak banyak turun naik disebabkan keadaan ekonomi. Jadi kerajaan boleh menjangkakan bahawa hasil sentiasa ada,” katanya.

sumber