Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang akan dikuatkuasakan mulai 1 April depan akan menyebabkan peningkatan mendadak kos perubatan di negara ini.

Pengarah CBP JKDM Datuk Subromaniam Tholasy berkata sebaliknya, ia akan memberi beberapa kelebihan kepada pengguna atau pesakit terutama apabila tiada lagi cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus dikenakan terhadap bilik dan makanan sepanjang pesakit berada di hospital.

Beliau berkata terdapat banyak jenis ubat diberi kadar sifar cukai selain pengecualian terhadap penggunaan beberapa mesin perubatan seperti mesin x-ray dan Pengimejan Resonans Magnetik.

“Sebenarnya, kenaikan sangat sedikit tetapi ada pihak menggembar-gemburkan seolah-olah kos perubatan di Malaysia akan naik mendadak dengan pelaksanaan CBP. Itu tidak benar.

“Kenaikan kepada hospital tidaklah begitu besar. Kita perlu mengambil kira penjimatan daripada penghapusan enam peratus cukai perkhidmatan sedia ada,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas seminar dan pendaftaran CBP di sini pada Ahad.

Subromaniam berkata CBP juga dikecualikan bagi perkhidmatan kesihatan doktor pakar yang berkhidmat di hospital swasta yang dikategorikan ‘perkhidmatan kontrak’ kerana cukai tersebut akan ditanggung hospital.

“Doktor pakar yang perlu mendaftar dengan CBP ialah mereka yang memberi perkhidmatan kepada hospital untuk pesakit, yang dikategorikan sebagai perkhidmatan sumber luar,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, doktor pakar yang mempunyai syarikat sendiri perlu mendaftar untuk GST secepat mungkin.

Beliau berkata CBP juga tidak akan dikenakan kepada pihak yang menguruskan pangsapuri kos rendah dan sederhana rendah.

Sementara itu, Subromaniam berkata sehingga semalam, syarikat yang mendaftar untuk CBP berjumlah 188,429 dengan 5,173 daripadanya adalah syarikat berdaftar di Melaka.

“Saya menggesa syarikat yang belum mendaftar agar berbuat demikian sebelum 31 Dis ini dan seterusnya membuat persediaan untuk pelaksanaan CBP pada 1 April depan,” katanya.

sumber