Kerajaan hari ini memperkenalkan buku panduan senarai barang bercukai dan barang tidak bercukai bagi barang serbaneka khusus kepada peniaga untuk membuat persiapan bagi menghadapi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) pada 1 April depan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata buku yang diterbitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bersama Kementerian Kewangan itu menyenaraikan 1,800 barang buat permulaaan dan akan menyenaraikan baki 8,200 senarai barang kepada peniaga yang telah berdaftar dalam masa terdekat.

“Panduan ini bukan untuk kegunaan pengguna kerana senarai 10,000 barang yang dikeluarkan oleh pihak Kastam adalah untuk rujukan peniaga melakukan persediaan yang perlu,” katanya dalam sidang media selepas program ‘Hand Holding’ sektor peruncitan khusus mengenai CBP.

Program tersebut memberi taklimat mengenai cara-cara penyediaan invois, penyimpanan rekod dan maklumat lain yang perlu untuk pelaksanaan CBP.

Chua berkata program itu akan dijalankan secara percuma kepada syarikat-syarikat yang berdaftar walaupun selepas tarikh pelaksanaan CBP.

Sehingga 5 Januari, sebanyak 301,306 syarikat telah mendaftar dengan Kastam, melebihi jangkaan sebanyak 240,000 pada akhir 2014.

Daripada jumlah itu, katanya, 123,000 merupakan syarikat daripada sektor peruncitan dan pemborongan, sektor hartanah (49,000 syarikat) dan pembuatan (33,000 syarikat).

Panduan bagi pengguna pula dijangka dikeluarkan pada akhir Januari atau awal Februari depan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, kata Chua.

sumber