Mesyuarat Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) Ke-17 akan berlangsung di Hotel Ritz-Carlton, di sini bermula Rabu sehingga Sabtu ini.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Selasa berkata mesyuarat ini merupakan yang pertama dalam siri mesyuarat AICHR di bawah Kepengerusian Malaysia bagi tahun ini.

“Wakil Malaysia ke AICHR, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah akan mempengerusikan mesyuarat tersebut. Wakil AICHR dan pembantunya dari negara ASEAN yang lain serta wakil Sekretariat ASEAN di Jakarta akan menghadiri mesyuarat ini,” menurut kenyataan itu.

AICHR akan meneruskan perbincangan mengenai beberapa isu lanjutan daripada kejayaan mesyuarat AICHR pada 2014 di bawah kepengerusian Myanmar termasuk isu pelaksanaan Program dan Aktiviti Keutamaan AICHR bagi 2014 hingga 2015.

Mesyuarat tersebut juga akan memberi peluang kepada wakil AICHR untuk berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai isu hak asasi manusia di ASEAN.

Dalam hal ini, Malaysia akan berkongsi pandangan terhadap pendrafan Pelan Kerja lima tahun AICHR 2016-2020 dan input AICHR mengenai Komuniti ASEAN Pasca-2015 dan Dokumen Iringannya.

Menurut kenyataan itu, Malaysia juga akan melancarkan Laman Web Kebangsaan AICHR-Malaysia semasa Majlis Makan Malam yang akan diadakan malam esok dan penubuhan laman web itu merupakan langkah yang tepat pada masanya.

Ia bertujuan memberi informasi dan maklumat terkini mengenai aktiviti AICHR di Malaysia kepada masyarakat umum serta meningkatkan tahap kesedaran awam mengenai isu-isu hak asasi manusia di Malaysia.

sumber