Ketika usia menginjak 40 tahun, ramai yang beranggapan mereka telahpun memperoleh apa yang dihajati dalam kehidupan.

Mempunyai kerjaya yang mantap, rumah yang sempurna, keluarga juga semakin bahagia malah badan turut terasa sihat.

Tetapi ramai yang terlupa bahawa semua nikmat itu bila-bila masa sahaja boleh “ditarik” oleh yang maha Esa apatah lagi jika sudah disapa oleh pelbagai penyakit terutama penyakit tidak berjangkit (NCD-non-communicable diseases).

Penyakit tidak berjangkit yang turut digelar penyakit gaya hidup semakin menjadi isu kesihatan utama di negara ini. Penyakit-penyakit ini meliputi penyakit hipertensi, diabetes, kolestrol tinggi dan obesiti.

Situasi membimbangkan ini membuatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengambil langkah pro-aktif bagi mencegahnya dalam kalangan pekerja di negara ini dengan menawarkan program pemeriksaan kesihatan percuma.

Program Saringan Kesihatan (HSP-Health Screening Programme) dimulakan sejak Januari 2013. Sayangnya, sungguhpun diberi secara percuma, sambutan bagi program ini kurang memberangsangkan hingga ia dilanjutkan menerusi Seminar Promosi Kesihatan Pekerja Perkeso 2014 yang berlangsung baru-baru ini.

PENEMUAN MEMBIMBANGKAN

Menurut Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Abu Huraira Abu Yazid badan pertubuhan sosial itu memperuntukkan RM200 juta bagi menampung perbelanjaan kesihatan 1.9 juta pekerja di Malaysia bagi tahun 2013, dan dananya bertambah setiap tahun bagi pekerja yang layak.

Faktor utama HSP diperkenalkan adalah sebagai langkah pencegahan terhadap risiko NCD yang menyebabkan keilatan Orang Berinsurans (OB) dan peratus hilang upaya OB yang meningkat setiap tahun.

“Ia disasarkan untuk mengesan penyakit-penyakit tidak berjangkit dalam kalangan pekerja. Perkeso percaya program ini sebagai satu langkah yang berkesan ke arah memantapkan tahap kesihatan pekerja di negara ini.

“Ini kerana pekerja yang menghadapi masalah penyakit itu boleh menyebabkan ketidakupayaan, mempengaruhi pekerjaan, mengurangkan pendapatan dan menjejaskan kewangan”, ulas beliau.

Menurut Abu Huraira, ia juga selaras dengan keperluan negara yang menuju status negara maju. Secara tidak langsung kesihatan pekerja di negara ini turut berubah ke arah cabaran-cabaran baharu.

Beliau turut mendedahkan hasil yang diperoleh berdasarkan lebih 320,000 pemeriksaan kesihatan yang dijalani pekerja dalam tempoh Januari hingga Disember tahun lepas.

“Hasilnya amat membimbangkan. Saya kira ia perlu dipandang serius. Kita dimaklumkan hampir 66 peratus daripada mereka tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Manakala kadar risiko penyakit kardiovaskular seperti kegemukan, darah tinggi, kencing manis dan merokok adalah agak tinggi dalam kalangan mereka”, jelas beliau.

Abu Huraira turut berkongsi maklumat iaitu 62 peratus mengalami obesiti, 41 peratus hipertensi, 16 peratus menghidap diabetes dan 61 peratus lagi mengalami masalah paras kolestrol yang tinggi.

Melalui kemudahan itu juga, 103,000 pekerja wanita telah menjalani pemeriksaan “pap smear” dan daripada jumlah itu 345 wanita disahkan “abnormal”.

Daripada lebih 108,000 wanita yang menjalani pemeriksaan mammogram 707 dikategori “suspicious” manakala 124 wanita lagi dikategori “highly suspicious of malignancy”.

BENTUK SARINGAN

Program pemeriksaan kesihatan percuma ini meliputi pemeriksaan fizikal, ujian darah dan khidmat nasihat doktor.

Manakala pekerja wanita ditambah dengan pemeriksaan “pap smear” dan mammogram.

Selain manfaat pemeriksaan kesihatan di 3,185 klinik swasta, yang berdaftar sebagai klinik panel program ini di seluruh negara, pekerja juga mendapat manfaat nasihat dan panduan daripada doktor.

TEMPOH DILANJUTKAN

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk K. Selvarajah pula berharap pihak majikan dapat memberi kerjasama dengan menggalak dan memberi kebenaran kepada pekerja untuk menjalani HSP.

Ini kerana pemberian baucar telah diberikan kepada majikan dan merekalah yang bertanggungjawab menyerahkannya kepada pekerja.

“Perkeso juga amat mengharapkan lebih ramai pekerja akan tampil menjalani saringan kesihatan ini. Manakala majikan, klinik serta pembekal perkhidmatan turut bekerjasama agar ia dapat disampaikan secara meluas kepada pekerja di seluruh negara”, saran beliau.

Bagi tahun 2014, Perkeso menyediakan hampir 270,000 baucar saringan kesihatan dan 103,000 baucar pemeriksaan mamogram untuk diedar oleh majikan kepada pekerja yang berumur lebih 40 tahun.

Pihaknya turut mengumumkan tempoh sah penggunaan baucar HSP tahun 2013 dilanjutkan sehingga 31 Dis ini.

Majikan dan pekerja yang mencarum dengan Perkeso dan ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai HSP boleh menghubungi Hotline HSP 03-42645089, 03-4252 1258/4475/4476 atau menghantar pertanyaan melalui emel:hsp@perkeso.gov.my serta laman web sehat.perkeso.gov.my.

sumber