Malaysia bercadang untuk membincang kerjasama dalam industri pertahanan dan penubuhan pasukan pengaman bersama dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang bakal berlangsung di sini selama dua hari bermula 15 Mac, depan.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata mesyuarat di peringkat pegawai kanan untuk ADMM sudah bermula dan Malaysia telahpun merangka perbincangan untuk diutarakan semasa mesyuarat utama peringkat menteri ASEAN itu kelak.

Bercakap kepada media selepas membuat tinjauan persiapan mesyuarat itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, beliau berkata ASEAN berpotensi untuk muncul sebagai pemain utama dalam industri pertahanan global jika kerjasama anggotanya menjurus ke arah itu.

“Kalaulah sesebuah negara itu bergerak secara bersendirian, mereka tidak akan dapat menjadi kuasa yang baik, tetapi jika sekiranya negara-negara ASEAN bergabung dari segi kemampuan modal, sumber manusia dan kepakaran teknikal, kita boleh menghasilkan produk yang berdaya maju,” katanya.

Produk berkenaan, katanya dapat dihasilkan ekoran kos buruh dan kos perniagaan yang agak kompetitif di rantau ini, berbanding rantau lain.

Abdul Rahim berkata cadangan pengwujudan pasukan pengaman bersama ASEAN juga bakal menjadi perkara yang dapat mengeratkan lagi kerjasama antara 10 negara anggotanya dalam memberi sumbangan bermakna kepada keamanan dunia.

“Ini membolehkan angkatan tentera kita menjalinkan kerjasama yang lebih erat dan dengan sendirinya juga dapat meredakan apa-apa sahaja konflik di antara negara-negara ASEAN,” katanya.

Menurutnya, ADMM yang diadakan di sini akan membuka tirai kepada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA’15) yang akan mengetengahkan elemen ASEAN dalam programnya selari dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi gagasan itu tahun ini.

Beliau yang berpuas hati dengan persiapan pameran antarabangsa dwitahunan itu berkata, kali ini, acara akan dianjurkan secara lebih komprehensif dengan melibatkan negara ASEAN dan beberapa negara di luar rantau ini.

Sehingga kini, 502 syarikat dari dalam dan luar negeri mengesahkan penyertaan sempena pameran LIMA’15 yang akan berlangsung lima hari bermula 17 Mac depan.

sumber