Ekonomi Malaysia diunjur mencapai pertumbuhan 5.5 peratus pada 2014, kata Dr Shane Oliver, Ketua Ekonomi dan Ketua Strategi Pelaburan, AMP Capital.

Beliau berkata tahun hadapan, kadar pertumbuhan Malaysia dijangka meningkat kepada sekitar 5.5 peratus selepas mencapai 4.5 peratus di 2013.

“Ia mungkin dibantu oleh kelonggaran monetari tahun lepas atau berikutan peningkatan pertumbuhan global (dari tiga peratus pada 2013 kepada sekitar 3.5 peratus tahun hadapan),” katanya kepada Bernama.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa Douglas McWilliams, Ketua Pakar Ekonomi Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales merangkap Pengerusi Eksekutif Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan, berkata ekonomi Malaysia dijangka tumbuh dengan lebih baik tahun hadapan berikutan pemulihan ekonomi global dan pertumbuhan eksport.

Beliau berkata pertumbuhan semula di zon euro dan perkembangan kukuh di AS akan memberikan ruang kepada negara-negara rantau Asean melaksanakan reformasi ekonomi dan sosial yang diperlukan.

Sementara itu, United Overseas Bank (UOB) menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia mencapai 5.2 peratus tahun hadapan, dipacu oleh eksport yang tinggi dan hasil daripada pengukuhan permintaan berikutan pemulihan ekonomi global.

Pakar ekonomi kanan UOB, Alvin Liew berkata pelaksanaan reformasi cukai, rasionalisasi subsidi dan inisiatif lain dalam Bajet 2014 oleh kerajaan akan menambah hasil dan mengekang defisit fizkal pada kadar 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Oliver yang bersetuju dengan kedua-dua unjuran itu menarik perhatian bahawa reformasi cukai Malaysia mungkin menimbulkan sedikit ketidaktentuan dan keadaan turun naik.

“Namun secara keseluruhannya beliau menjangkakan keadaan adalah positif berdasarkan gandingan cukai barang dan perkhidmatan serta pengurangan subsidi dan cukai persendirian akan menghasilkan sistem percukaian yang lebih efisien,” katanya.

Mengenai unjuran 2014, Oliver berkata ekonomi global dijangka berkembang dan dengan inflasi dan kadar faedah kekal rendah, ia akan mewujudkan keadaan positif untuk pertumbuhan aset walaupun kadar hasil bon semakin meningkat.

sumber