Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) berharap kerajaan akan terus meningkatkan lagi pembangunan usahawan tempatan menerusi peruntukan dana mencukupi di bawah Belanjawan 2014.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Badlisham Ghazali yakin kerajaan akan terus menyokong usahawan dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi, memandangkan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Silicon Valley di California baru-baru ini, yang menjadi lokasi penempatan banyak syarikat teknologi tinggi terbesar dunia.

“Namun kami mahu melihat peruntukan bajet bukan sekadar untuk mempromosikan usahawan di negara ini, tetapi juga membangunkan mereka menjadi jagoan dunia,” katanya kepada pemberita di luar anugerah MSC Malaysia APICTA 2013 hari ini.

Najib mengumumkan dalam Belanjawan 2013 bahawa Dana Pembiayaan Bumiputera bernilai RM1 bilion akan diperuntukkan oleh SME Bank untuk membiayai pengambilalihan subsidiari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menjalankan aktiviti bukan teras, oleh usahawan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Selain itu, di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga Nasional (Tekun Nasional), kerajaan memperuntukkan RM350 juta, di mana RM50 juta diperuntukkan bagi kaum India.

Kerajaan juga menubuhkan Skim Dana Pembiayaan Harta Intelektual bernilai RM200 juta bagi membolehkan PKS mengembangkan perniagaan mereka dengan menggunakan hak harta intelektual sebagai cagaran bagi mendapatkan pembiayaan yang ditawarkan menerusi Malaysian Debt Ventures Bhd.

– BERNAMA

sumber