Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula April depan tidak akan membebankan rakyat.

Beliau menegaskan bahawa sistem percukaian itu yang diguna pakai kira-kira 90 peratus negara di dunia perlu dilaksana di Malaysia bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mampan dan berkembang kukuh.

Beliau berkata kerajaan tidak melaksanakan sistem percukaian GST secara terburu-buru, malah ia telah dikaji kerajaan sejak 30 tahun dahulu dan yakin ia akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

“Yakinlah, saya tidak akan susahkan rakyat Malaysia. Saya sebagai pengerusi Barisan Nasional tidak akan menyusahkan rakyat kerana kerajaan berdiri atas sokongan rakyat,” katanya ketika menutup majlis Penerangan Perdana GST di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Rabu.

GST dijadual diperkenalkan April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus.

Najib juga menerangkan kepada kira-kira 2,000 orang awam yang hadir pada majlis itu mengenai manfaat perlaksanaan CBP, yang mampu memacu ekonomi negara ke arah status negara maju.

Beliau berkata CBP ini bukanlah satu perkara baharu, sebaliknya telah disebut tiga Menteri Kewangan terdahulu, termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa membentangkan belanjawan pada 30 Okt 1992.

“Kita mesti ada sumber kewangan yang kukuh. Setiap kali belanjawan dibentangkan setiap tahun, jika tidak disebut bonus, maka belanjawan itu dianggap sebagai tidak baik.

“Untuk sebulan bonus, kerajaan perlu mengeluarkan hampir RM5.6 bilion. Ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan penjawat awam sebanyak 1.5 juta orang dan 300,000 pesara, negara memerlukan hasil negara yang mencukupi,” katanya.

Jelas Najib, bagi menentukan kemampuan kewangan negara terus mampan dan kukuh, maka hasil negara perlu ditambah menerusi perlaksanaan CBP, yang mewajibkan rakyat membayar cukai apabila berbelanja.

sumber