Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang (MTPNPP) berharap kerajaan negeri pimpinan DAP dapat meluluskan tujuh projek perumahan melibatkan lebih 4,000 rumah mampu milik di negeri ini, demi kepentingan rakyat.

Pengerusi MTPNPP Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata beberapa isu yang dipertikai kerajaan negeri sebelum ini, telah diperjelaskan melalui pertemuan pihaknya dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo, Disember lepas.

Beliau berkata antara perkara itu ialah isu tanah tapak projek dan harga rumah yang dicadang Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan JKP Sdn Bhd (JKP).

“Sejak 2012, kerajaan persekutuan menerusi agensinya telah menghantar pelan untuk membina 15 projek perumahan membabitkan 9,500 rumah di Pulau Pinang, tetapi sehingga hari ini ia belum diluluskan.

“Dalam pertemuan dengan Jagdeep, beliau mahu lapan daripada projek itu dipinda semula, tetapi saya meminta tujuh projek lagi (diluluskan) kerana ia memenuhi syarat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Zainal Abidin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang merasmikan majlis Anugerah Watikah Briged Penceramah Penerangan UMNO Pulau Pinang di Wisma Tranformasi Permatang Pauh, di sini pada Isnin.

Beliau berkata sehingga kini kerajaan negeri pimpinan DAP itu belum memberi sebarang maklum balas berhubung tujuh projek yang melibatkan lebih 4,000 rumah kos rendah dan sederhana itu.

“Kami telah memenuhi syarat yang dikemukakan kerajaan negeri seperti levi dan setinggan sebelum kelulusan pembangunan boleh diberikan, tetapi mereka dilihat cuba memberi tekanan untuk tidak meluluskan projek-projek berkenaan.

“Kami bukan minta duit mereka bina rumah sebaliknya hanya kelulusan untuk membina kediaman demi kepentingan rakyat di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Zainal Abidin berkata sebanyak 60 peserta yang diberi latihan dan kursus sejak enam bulan lepas, menerima watikah briged penceramah itu.

“Semua peserta diberi latihan dan informasi yang secukupnya untuk memberi ceramah atau maklumat kepada orang ramai dan jika pilihan raya kecil diadakan di Permatang Pauh, mereka akan membantu jentera kami dalam menyalurkan maklumat kepada pengundi,” katanya.

sumber