Penghulu mukim di negara ini digalakkan menyertai anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam operasi menentang kenaikan harga barang.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Bashah Mohd Hanipah berkata, lebih 750 penghulu di seluruh negara yang telah dilantik sebagai pembantu penguatkuasa KPDNKK sebelum ini lebih mengetahui hal berkaitan peniaga di kawasan mereka.

Beliau berkata penghulu boleh melaporkan perkara tersebut kepada penguatkuasa KPDNKK sekiranya nasihat kepada peniaga yang menaikkan harga barang secara mendadak tidak diendahkan.

“Lagi bagus kalau penghulu mukim sendiri yang tunjuk peniaga menipu dari segi timbangan, seludup minyak, dan letak harga barang terlalu tinggi agar tindakan tegas boleh diambil.

“Penghulu juga boleh salurkan maklumat berkaitan aduan yang diterima daripada orang ramai berkaitan isu harga barang selepas harga bahan api turun,” katanya selepas merasmikan Program Taklimat Mengenai Peranan dan Bidang Kuasa KPDNKK Bersama Penghulu di sini, Ahad.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata penghulu juga boleh memberi penerangan lebih terperinci berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) yang dilaksanakan April kepada mereka kurang faham dan keliru dengan perkara itu.

Beliau berkata penghulu boleh mengadakan majlis di kampung-kampung dengan menjemput pegawai dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk memberi penerangan mengenai CBP.

sumber