Langkah penjimatan kerajaan dalam bajet 2015 tidak menjejaskan pembayaran pencen pesara jabatan dan agensi persekutuan, negeri serta badan berkanun di seluruh negara, kata Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Yeow Chin Kiong.

Beliau berkata ini kerana pencen dan pembayarannya telah termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan peruntukannya tidak bergantung pada bajet tahunan.

“Pembayaran pencen tidak disentuh atau langsung tiada perubahan. Ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan jauh sekali niat kerajaan untuk mengusiknya,” katanya kepada pemberita selepas Program Jalinan Kasih Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB)-JPA, di Ujong Pasir, Melaka, Isnin.

Mengulas lanjut, Yeow berkata kenaikan kadar pencen sebanyak dua peratus juga tidak terjejas dengan penstrukturan semula bajet tersebut.

Katanya, sehingga kini bilangan penerima pencen seluruh negara adalah 623,000 orang dan melibatkan pembayaran berjumlah RM11 bilion setahun.

Dalam perkembangan lain, Yeow berkata pihaknya sentiasa mencari peluang membantu pesara yang memerlukan bantuan sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat dan juga dalam usaha merakyatkan perkhidmatan awam.

“Kakitangan awam perlu memberi sedikit perhatian bagi menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan mengikut kemampuan yang ada dan secara tidak langsung memberi nilai tambah dalam perkhidmatan kita,” katanya.

Terdahulu Yeow meluangkan masa melawat pesara MBMB Mahmood Tamby Ahmad, 87, yang terlantar akibat sakit tua dan menyampaikan sumbangan barangan keperluan berupa makanan, katil dan kerusi roda untuk kegunaannya.

Hadir sama Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Hussin.

Sementara itu, anak perempuan Mahmood, Rohana, 45, berkata dia bersyukur kerana bapanya masih menerima bayaran pencen untuk membeli keperluannya.

“Kami mempunyai sembilan adik-beradik namun masing-masing mempunyai gaji yang kecil, namun Alhamdulillah bayaran pencen yang diterima ayah meringankan beban yang ada,” katanya.

sumber