Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA)meluluskan sebanyak 72 projek pembangunan kediaman di seluruh negara bagi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata kesemua projek itu akan menawarkan sejumlah 50,000 unit kediaman kepada para pembelinya.

“Untuk keseluruhan projek, saya difahamkan lebih 11,000 unit (rumah) sudah dimulakan pembinaannya dalam pelbagai peringkat.

“Manakala, bakinya iaitu 32,000 hingga 40,000 unit pula masih dalam proses membersih tanah serta tapak,” katanya dalam sidang media selepas melawat tapak projek PR1MA di Bandar Layangkasa dan Tebrau, di sini pada Isnin.

Abdul Mutalib berkata kebanyakan rumah PR1MA itu dibangunkan di kawasan-kawasan bandar utama dan sub-bandar, rentetan daripada keperluan orang ramai yang ingin turun ke kawasan tersebut untuk bekerja.

“Selain itu, kebanyakan rumah PR1MA juga adalah untuk golongan yang berpendapatan sederhana antara RM2,500 – RM10,000 sebulan,” jelasnya.

Beliau menambah, bagi negeri Johor tahun ini, perbadanan itu telah meluluskan sebanyak sembilan projek perumahan PR1MA termasuk di Bandar Layangkasa, Tebrau, Taman Rinting (Masai), Taman Perling (Mukim Pulai), dan Skudai yang akan menawarkan sejumlah 13,951 unit rumah.

“Pada ketika ini, dua projek yang sedang melalui pembinaan ialah di Bandar Layangkasa Fasa 1 dan Tebrau. Ia merupakan projek pembinaan sebanyak 475 unit rumah teres dua tingkat serta 1,284 unit apartmen.

“Kedua-duanya mencapai kemajuan projek masing-masing sebanyak 30 peratus serta 10 peratus dan dijangka siap pada Julai tahun ini dan Disember tahun depan,” katanya.

Kedua-dua projek itu turut menerima sejumlah 23,842 permohonan dari penduduk Johor sejak pendaftaran projek itu dibuka pada 15 Jan lepas.

sumber