Harga projek rumah mampu milik oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan mempunyai kesan penstabil dan bertindak sebagai penanda aras bagi pelbagai rumah kediaman seumpamanya yang akan ditawarkan oleh pemaju swasta lain.

Pasaran hartanah tidak lama lagi akan memberi tindak balas dan sepadan dengan harga PR1MA, iaitu 25 peratus lebih murah daripada nilai pasaran, kata Pengerusi Eksekutif Rahim and Co Chartered Surveyors Sdn Bhd Tan Sri Abdul Rahim Rahman.

“Jika rumah PR1MA hanya sekitar RM250,000, siapa yang mahu membeli rumah daripada pemaju swasta yang menetapkan harga antara 20 dan 40 peratus lebih tinggi?

“Sektor swasta tidak akan mempunyai pilihan tetapi mengikut langkah itu dan mula menurunkan harga hampir sepadan dengan apa yang ditawarkan oleh PR1MA,” katanya selepas mengeluarkan “Penyelidikan Rahim & Co – Kajian Pasaran Hartanah 2014/2015″ di sini Khamis.

Rahim berkata dengan PR1MA, akan terdapat lebih banyak rumah mampu milik dalam pasaran dan keadaan akan menjadi stabil.

“Dengan PR1MA, harga rumah mampu milik tidak akan naik pada masa akan datang,” katanya sambil menambah rakyat perlu memberi peluang kepada PR1MA berikutan organisasi itu masih baru.

Rahim berpendapat julat yang sesuai bagi rumah mampu milik di Kuala Lumpur ialah antara RM300,000 dan RM400,000, dan julat itu perlu lebih rendah bagi kawasan lain di negara ini.

Dalam laporannya, perunding hartanah antarabangsa itu berkata harga hartanah di Malaysia pada tahun ini dijangka pada aliran meningkat di seluruh negara, walaupun pada pertumbuhan yang perlahan, selain pelbagai langkah untuk membendung kenaikan harga hartanah dan kos hidup yang semakin meningkat.

Mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), Rahim berkata pasaran akan terus berhati-hati dengan pembeli, penjual dan beberapa pemaju mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.

Dijangka harga hartanah akan meningkat bukan hanya kerana CBP tetapi juga berikutan mekanisme penawaran dan permintaan pasaran.

“Bahan binaan tertakluk kepada CBP tetapi urusniaga dalam hartanah kediaman dikecualikan CBP. Pada pendapat saya, jika terdapat kenaikan disebabkan cukai ini, ia tidak akan melebihi tiga peratus,” katanya.

“Harga rumah naik secara berperingkat baik untuk negara, tetapi perlu ada peruntukan, syarat dan penguatkuasaan undang-undang dalam usaha menyediakan rumah untuk semua golongan, bukan hanya golongan kaya” katanya.

sumber