Kementerian Sumber Manusia hari ini melancarkan buku mengenai garis panduan yang diguna pakai dalam penentuan persoalan keilatan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menterinya, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, garis panduan itu juga diguna pakai oleh jemaah doktor dalam membuat keputusan berkaitan taksiran hilang upaya bagi kemalangan dan penyakit pekerjaan pencarum.

Buku bertajuk ‘Guidelines on Impairment and Disability Assessment on Traumatic Injuries, Occupational Diseases and Invalidity’ itu merupakan kesinambungan dua edisi yang diguna pakai sejak 2003 dengan penambahbaikan beberapa aspek, katanya dalam ucapan pelancaran buku itu di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Ismail Abd Muttalib.

Menurut Riot, penerbitan buku itu diharap dapat mengurangkan persoalan serta aduan orang ramai dan seterusnya meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian dan pengurusan sidang Jemaah Doktor Perkeso.

Garis panduan itu akan dikuat kuasa bermula 1 Jun ini dan sebanyak 1,500 naskhah sudah dicetak untuk diagih kepada hospital, pakar-pakar perubatan serta mereka yang memerlukan sebagai rujukan.

sumber