Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan menyalurkan lebih banyak peruntukan pembangunan kepada masyarakat di luar bandar apabila negara melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tahun depan.

Najib berkata pembangunan di luar bandar antara sektor yang akan diberi keutamaan apabila kerajaan memperoleh pendapatan tambahan daripada pelaksanaan GST kelak dan perkara itu telah dimaklumkan kepada Kabinet.

Beliau berkata pembangkang sering membuat dakyah kononnya apabila GST dilaksanakan, semua harga barangan dan perkhidmatan akan naik.

“Bukan semua barang naik, ada yang turun dan ada yang kekal kepada harga biasa. GST bukan perkara baharu kerana ia hanya menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada,” katanya pada majlis penyampaian dividen Risda peringkat nasional di Dewan Seri Perdana Kolej Automotif Antarabangsa di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Najib berkata menerusi langkah itu juga kerajaan dapat memastikan pembangunan di bandar dan luar bandar diseimbangkan agar rakyat dapat menikmati kemajuan serta kesejahteraan secara adil dan saksama.

“Kita tidak mahu jadi macam sesetengah negara, ibu negara mereka begitu maju dengan penduduk padat tetapi kawasan luar bandar begitu terpinggir dan tidak ada kemajuan dan pembangunan dilakukan,” katanya.

sumber