Golongan yang bekerja sendiri berpeluang mendapat perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjelang tahun 2015.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata sebelum ini hanya golongan yang bekerja dan bermajikan sahaja mendapat manfaat daripada pelbagai skim perlindungan Perkeso.

“Sasaran kita ialah untuk melaksanakan skim berkenaan menjelang tahun 2015,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan cek kepada penerima faedah Perkeso di pejabat Perkeso di sini, Jumaat.

Katanya, apabila dilaksanakan nanti, skim berkenaan akan memberi faedah kepada golongan yang bekerja sendiri seperti ahli perniagaan termasuk pemandu teksi.

“Ia menunjukkan keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan pekerja kerana kita tidak mahu apabila pekerja ditimpa kemalangan, mereka serta keluarga mereka susah kerana hilang punca pendapatan,” tambahnya.

Terdahulu dalam ucapannya Riot berkata setakat tahun lalu 398,800 majikan aktif di seluruh negara yang mencarum dengan Perkeso berbanding 383,575 pada tahun 2012 sementara pekerja aktif yang dilindungi Perkeso pada tahun 2013 adalah 5,999,000 berbanding 5,976,934 orang pada tahun 2012.

Katanya, statistik Perkeso menunjukkan kes kemalangan di tempat kerja dan dalam perjalanan meningkat 3.29 peratus kepada 63,578 kes tahun lalu berbanding 61,552 kes pada tahun 2012.

Riot berkata pelbagai penambahbaikan diusahakan oleh Perkeso bagi memastikan orang berinsurans serta pekerja mendapat jaminan kewangan dan perlindungan apabila ditimpa kemalangan dan kematian bukan sahaja diri pencarum malah tanggungan mereka.

Di samping itu, katanya, Perkeso juga memperluaskan liputan keselamatan sosial kepada penjawat awam yang berstatus kontrak dan sementara mulai Jun tahun lalu.

Katanya, bagi membendung penyakit yang tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser, mulai 1 Jan tahun lalu Perkeso telah melantik 3,012 klinik panel untuk pemeriksaan saringan kesihatan (HSP) di seluruh negara.

Di negeri ini sahaja terdapat 139 klinik panel bagi memberi kemudahan kepada pekerja yang berumur 40 tahun dan ke atas.

Di majlis itu, Riot menyampaikan cek kepada lapan penerima faedah perlindungan pelbagai skim Perkeso termasuk kepada balu bekas pemain bola sepak Sarawak, Allahyarham Sazali Mohamad Rambli, iaitu Noraini Ayub.

sumber