Mulai tahun ini, semua penerima tunggal bagi Faedah Orang Tanggungan dan Pencen Penakat di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak lagi perlu mengemukakan perakuan tahunan untuk memastikan mereka terus menerima pencen dan faedah.

Perkeso dalam kenyataan hari ini menjelaskan peraturan baharu itu akan memudahkan 50,871 penerima faedah yang terdiri daripada balu atau duda, ibu atau bapa, datuk atau nenek yang sebelum ini perlu membuat pengisytiharan melalui Borang 117 setiap tahun.

Bagaimanapun peraturan baharu itu tidak terpakai kepada penerima Pencen Penakat dan Faedah Orang Tanggungan yang terdiri daripada dua orang atau lebih penerima.

“Ia juga tidak terpakai kepada penerima tunggal yang merupakan seorang anak ataupun adik kepada orang berinsurans yang telah meninggal dunia dan perlu mengemukakan pengisytiharan kelayakan mereka sebelum setiap akhir tahun melalui Borang 117,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bayaran pencen dan faedah kepada penerima yang dikecualikan daripada mengisi borang itu akan dikreditkan ke dalam akaun bank seperti biasa atau dibayar melalui waran kepada mereka yang tidak mempunyai akaun bank.

Katanya, Borang 117 yang dikeluarkan kepada penerima tertentu dan telah dilengkapkan pada Oktober tahun lepas, kini dalam proses kemas kini.

Penerima yang masih belum melengkapkan Borang 117 diminta berbuat demikian di pejabat Perkeso berhampiran atau Cawangan Pengurusan Perhubungan Pelanggan yang boleh dihubungi di talian 03-4257 5755 selain boleh memuat turun borang di laman web www.perkeso.gov.my

sumber