Bajet 2014 yang dibentangkan semalam terangkum dan mesra Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), dengan kebanyakan inisiatif bertujuan untuk mengukuhkan lagi keseluruhan eko-sistem PKS tanpa mengira saiz atau struktur syarikat.

Pengarah Urusan Small and Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) Datuk Mohd Razif Mohd Yunus berkata bajet itu akan memudahkan keperluan untuk pembiayaan, program pembangunan, membina kecekapan, inovasi serta penyelidikan dan pembangunan

“Ia berkait dengan usaha menterjemahkan wawasan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020,” katanya kepada Bernama.

Dalam belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, SME Bank mendapat peruntukan sebanyak RM550 juta, terdiri daripada RM50 juta bagi Tabung Usahawan Siswazah dan RM300 juta bagi Dana Ekuiti Bumiputera bagi membolehkan syarikat Bumiputera yang berwibawa mengambil alih syarikat-syarikat yang tersenarai atau syarikat-syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

Baki RM200 juta adalah untuk program-program pembangunan bagi tanah rizab Melayu di kawasan strategik seperti Kampung Baru, Kampung Pandan dan Kampung Datuk Keramat.

“Pembiayaan itu selaras dengan Program Transformasi Ekonomi yang bertujuan untuk menyediakan akses yang lebih besar kepada dana untuk projek-projek dan program-program tertentu. Ia akan membantu meningkatkan masyarakat PKS dan merangsang pembangunan di kawasan kurang maju di Kuala Lumpur,” katanya.

– BERNAMA