Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan Ops Kesan Perkeso dengan menumpukan premis di kawasan pembangunan baharu bagi mengesan majikan yang tidak mencarum pekerja masing-masing.

Ketua Eksekutifnya, Datuk K Selvarajah berkata, operasi itu dijalankan serentak di seluruh negara sepanjang Mei ini membabitkan 46 pejabat dan 1,000 pegawai penguat kuasa.

Katanya, setakat ini terdapat lebih 400,000 majikan aktif yang mencarum bersama Perkeso menerusi Skim Keselamatan Sosial dan kira-kira 5.9 juta pekerja aktif diberi perlindungan di bawah skim itu.

“Sejak operasi ini dilancar pada 2009, peratusan majikan yang mematuhi pelaksanaan pendaftaran pekerja meningkat sehingga melebihi tahap 90 peratus.

Selvarajah berkata, setiap majikan diberikan tempoh dalam tempoh 30 hari dari tarikh pekerja diambil bekerja, sekiranya gagal mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda hingga RM10,000.

“Majikan juga boleh dikenakan penjara dan denda jika mereka masih gagal mendaftar caruman pekerja dalam tempoh 30 hari.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,827 majikan dikenakan tindakan undang-undang dengan kutipan kompaun mencecah hampir RM1 juta dan denda lebih RM200,000 kerana gagal mendaftar pekerja,” katanya.

Dalam pada itu katanya, mana-mana majikan yang tampil membuat pendaftaran sebelum Mei ini tidak akan dikenakan tindakan walaupun tempoh pendaftaran perusahaan atau pekerja sudah melebihi 30 hari.

sumber