Sasaran 220,000 syarikat berdaftar untuk cukai barangan dan perkhidmatan (CBP) menjelang akhir tahun ini dijangka tercapai, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata ini kerana sehingga kini sejumlah 201,440 syarikat telah berbuat demikian dan untuk tempoh semalam sahaja, lebih 4,000 syarikat telah mendaftar.

“Semalam sahaja 4,008 syarikat mendaftar. Yang terbanyak dalam seluruh hari pendaftaran sejak 10 Jun tahun ini. Sebab itu angka (sasaran) 220,000 syarikat pada 31 Dis ini kita yakin boleh capai.

“Yang belum daftar mesti daftar sebelum 31 Dis. Kalau tidak daftar mereka semua sudah tahu ada denda dan juga kompaun tertentu. Seeloknya mendaftarlah, kerana banyak kebaikan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvensyen Koperasi Kredit anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) di sini pada Khamis.

Konvensyen yang disertai lebih 300 peserta daripada pelbagai koperasi itu diadakan bertujuan memberi pengetahuan mengenai beberapa kaedah efektif dalam urusan pembiayaan yang turut diamalkan institut perbankan.

Mengulas kesan penurunan harga minyak mentah kepada pendapatan kerajaan, Ahmad berkata dividen Petronas kepada kerajaan dijangka tidak terjejas teruk kerana pembayaran adalah berdasarkan harga US$110 setong.

Beliau berkata pengiraan itu berdasarkan kepada fakta bahawa trend penurunan ketara harga minyak hanya dilihat pada dua bulan terakhir tahun ini, manakala harganya stabil untuk 10 bulan pertama.

“Saya cuma nak jelaskan, dividen Petronas kepada kerajaan untuk 2014 tidak terjejas banyak kerana anggaran kita, dividen itu berdasarkan US$110 setong. Dan kita jangkakan sehingga akhir Disember, penurunan mungkin USD104 setong secara purata.

“Kerana penurunan menjunam pada November dan Disember. Tetapi dari Januari hingga Oktober (harganya) tinggi. Dengan lain perkataan, dividen, royalti, dan cukai dari Petronas itu berdasarkan purata sekitar US$110 setong,” katanya lagi.

Sekiranya harga minyak terus menunjukkan trend tidak stabil pada tahun depan, Ahmad berkata ia boleh diimbangi dengan pelepasan bebanan subsidi yang ditanggung kerajaan selama ini.

sumber