Kerajaan akan menubuhkan dua pusat sehenti bertujuan memajukan industri kandungan digital kreatif di negara ini dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata dalam masa tiga bulan akan datang, pusat sehenti itu yang dikenali sebagai ‘Pitching Centre’ akan ditubuhkan bertujuan mendengar idea-idea serta membimbing penggiat industri itu.

“Kita akan selaraskan pusat sehenti ini dalam masa tiga bulan bagi mendengar idea golongan ini. Maka mereka tidak perlu lagi menunggu untuk bertemu menteri sekiranya mempunyai idea,” katanya selepas Majlis Taklimat Pasca Bajet 2015 kepada Industri Kandungan Digital Kreatif di Wisma Radio, Angkasapuri di sini, pada Jumaat.

Tambahnya, pusat sehenti itu akan diketuai Multimedia Development Corp (MDeC) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Menerusi pusat sehenti ini juga, kita akan bantu penggiat industri untuk mendapatkan tajaan dari pihak swasta seperti Celcom, Telekom Malaysia dan Petronas. Malah saya harap ianya menjadi jambatan kepada apa sahaja sumber yang ada,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, kerajaan juga akan menubuhkan sebuah lagi pusat sehenti dikenali sebagai ‘Content Malaysia’ yang mempunyai peranan lebih meluas daripada Finas.

Katanya, pusat itu bukan hanya tertumpu kepada industri filem sahaja malah meliputi semua kandungan termasuk panggung wayang, televisyen, You Tube dan permainan video.

“Skop pusat sehenti ini meliputi subjek yang meluas kerana kita mahu menyatukan pelbagai sumber dana sedia ada,” katanya.

Majlis taklimat yang berlangsung hampir tiga jam itu dihadiri kira-kira 300 penggiat industri bertujuan membincangkan tentang peruntukan RM100 juta untuk pembangunan industri berkenaan yang diumum dalam Bajet 2015 baru-baru ini.

Ketika membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sejumlah RM100 juta akan disalur melalui Dana Industri Kandungan Digital bagi menggalakkan perkembangan industri kreatif negara.

sumber