Golongan wanita harus memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan dalam Bajet 2015 untuk memperkasakan mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau berkata kerajaan memperkenalkan banyak program bagi wanita untuk memacu kemajuan dan meningkatkan taraf hidup mereka.

“Banyak yang diperuntukkan melalui bajet ini kepada golongan wanita, dan sebab itulah kami juga mahu pertubuhan bukan kerajaan menggunakan peruntukan itu untuk memperkasakan wanita menerusi pelbagai program.

“Kami mahu lebih ramai wanita menjadi pemimpin dan membuat keputusan sambil negara melangkah ke arah menjadi sebuah negara maju,” katanya selepas merasmikan ‘Women Extraordinaire Forum 2014′ di sini pada Selasa.

Forum dua hari itu disertai banyak pemimpin wanita terkemuka Asia daripada sektor awam dan swasta, dan merupakan wadah bagi wanita mewujudkan jaringan, bertukar-tukar pendapat dan berkongsi pengalaman.

Semasa membentangkan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM2.26 bilion kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memperkasakan wanita di negara ini.

Inisiatif itu termasuk program Sokongan Untuk Suri Rumah 1Malaysia bagi menyediakan latihan kemahiran dan program Wanita Kembali Berkerjaya untuk wanita kembali bekerja menerusi Talent Corp berdasarkan kelayakan profesional mereka.

sumber