Kerajaan akan mewujudkan dana khas untuk membantu usahawan muda menceburi dunia keusahawanan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, dana khas itu bertujuan membantu aktiviti dan usaha memulakan perniagaan oleh usahawan muda.
“Adakah akan ada dana untuk membantu usahawan muda, jawapannya ialah Ya,” katanya menjawab satu soalan peserta pada sesi soal jawab selepas merasmikan 1Malaysia Entrepreneurs (1MeT) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini semalam.

Najib bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai dana itu kerana butiran mengenainya akan hanya diumumkan ketika pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini.

Seramai 5,000 usahawan muda dari seluruh dunia menghadiri acara 1MET di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, yang diadakan bersempena penganjuran Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) 2013.

Turut hadir, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry dan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

1MET akan terus dianjur

1MeT ialah satu daripada inisiatif Kementerian Kewangan untuk memberi inspirasi, menggalak dan memupuk usahawan generasi muda supaya dapat mencapai kejayaan dalam bidang yang mereka ceburi.

Terdahulu dalam ucapan perasmian 1MeT, Perdana Menteri berkata, acara seperti 1MET akan terus dianjurkan dari semasa ke semasa bagi memastikan usahawan muda sentiasa didedahkan terhadap aliran baru dalam dunia keusahawanan.

Katanya, selain akan dikembangkan ke seluruh pelosok negara termasuk luar bandar, 1MET juga akan berusaha menjemput lebih banyak negara terbabit dalam aktiviti yang diadakan bagi berkongsi maklumat dan kepakaran dalam membangunkan perniagaan.

sumber